“Ingatkan sudah masuk dunia milenium, tiada insiden lagi sebaliknya makin banyak kes buli.”
Sedih, kecewa dan marah nada rakan penulis ketika mempersoalkan tindakan segelintir individu melakukan amalan buli meskipun tidak pernah diisytiharkan sebagai adat dan budaya mana-mana masyarakat bertamadun.
Namun, sedar atau tidak sebenarnya konsep buli ini telah dinormalisasikan dalam kehidupan seharian kita.
“Tak perlu tengok di sekolah, di jalan raya malah tempat kerja pun ada yang kena buli. Manusia kalau ada yang mulakan, mesti ada mengikut. Tak mahu tertinggal sama ada guna fizikal atau mainkan emosi dengan kutukan,” jawab seorang lagi rakan penulis.
Justeru, ia perlu dihentikan terutama apabila perbuatan buli ini boleh juga melibatkan kes kematian.
Pastinya, kita pernah berdepan situasi apabila kanak-kanak buat hal, ada suara-suara tertentu menyatakan agar orang tua tidak perlu masuk campur.
Perkara ini sekiranya dibiarkan dari kecil suka membuli tanpa ditegur dan dibimbing akan melarat sehingga dewasa.
Bagi pakar motivasi terkemuka, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dalam perkongsian di aplikasi TikTok memaklumkan trauma dihadapi mangsa akan ‘bersarang’ dari kecil sampai dewasa sama ada buli dilakukan secara lisan atau psikologikal dengan disisihkan atau dipulaukan.
Ujarnya, setiap orang perlu berpegang kepada konsep 3R dengan pertamanya adalah kenal pasti (recognize) kategori buli tersebut.
“Keduanya buat laporan (report) sama ada kepada guru, kaunselor atau pihak bertanggungjawab yang lain. Seterusnya jangan terima (reject) perlakuan buli kerana impaknya amat mendalam dan beri kesan jangka panjang,” katanya.
Berbicara mengenai perundangan, peguam Khairul Naim Rafidi berkata, tuntutan sivil boleh dibuat kepada pembuli dan pihak sekolah berasaskan prinsip undang-undang tort seperti serangan fizikal, kecuaian dan tanggungjawab pihak sekolah atau pentadbir terhadap perbuatan orang di bawah kawalan mereka seperti guru atau pelajar.
“Ya. Mangsa atau waris boleh memfailkan tuntutan sivil terhadap pembuli secara individu.
“Sekolah dan pentadbir juga boleh dipertanggungjawabkan jika terbukti gagal mengambil langkah pencegahan yang munasabah atau mengabaikan aduan atau bukti yang menunjukkan risiko buli, sama ada semasa aktiviti pembelajaran atau aktiviti kokurikulum,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, berdasarkan Civil Law Act 1956 dan prinsip common law, tuntutan sivil dibuat kerana mangsa berhak mendapatkan ganti rugi atas kecederaan fizikal, trauma emosi, dan kerugian lain akibat perbuatan buli atau kecuaian pihak sekolah.
“Jumlah tuntutan tiada had khusus dan dalam kes serius boleh mencecah hingga ratusan ringgit bergantung kepada bukti perubatan dan kesan psikologi.
“Ia amat bergantung kepada keterukan kecederaan, laporan perubatan, penilaian pakar psikiatri, serta bukti kerugian.
“Mahkamah juga boleh memberikan aggravated damages (ganti rugi teruk) dan exemplary damages (ganti rugi) terhadap perbuatan yang melampaui batas,” jelasnya.














