PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkesempatan menyampaikan sendiri surat lantikan tetap dua doktor muda, di Sabah semalam.
Beliau berkata, surat lantikan tetap di bawah e-Placement Fasa 1 itu diberi kepada Dr. Zulika Farina Zainon dan Dr. Muhammad Izrin Syukri Mohd Nasri ketika lawatannya di Sandakan dan Kinabatangan.
“Dr. Zulika Farina ialah anak jati Sandakan, graduan Universiti Malaysia Sabah dan kini berkhidmat di Klinik Desa Karamunting. Legasi bakti keluarganya cukup menginspirasi, kerana ibunya baru sahaja bersara sebagai Family Medicine Specialist di daerah ini.
“Dr. Muhammad Izrin pula anak jati Puchong, graduan National University of Ireland, jauh di perantauan tetapi tekad berkhidmat di Hospital Kinabatangan, antara hospital daerah yang menjadi nadi perkhidmatan kesihatan di pedalaman Sabah,” katanya di media sosial.
Tambah beliau, mereka berdua adalah sebahagian daripada 307 pegawai perubatan retap yang akan ditempatkan di seluruh Sabah dalam e-Placement Fasa 1.
Katanya, ia langkah penting untuk mengatasi isu ‘maldistribution’ pegawai perubatan di negeri berkenaan.
“Kehadiran mereka bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, tetapi memperkukuh barisan hadapan sistem kesihatan.
“Mereka memastikan rakyat di pedalaman tidak perlu menempuh perjalanan berjam-jam hanya untuk mendapatkan rawatan.
“Tahniah dan selamat berkhidmat! Semoga iltizam dan ihsan yang ditunjukkan menjadi inspirasi kepada generasi doktor akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE