MELAKA – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencuri barang termasuk makanan kucing, jem roti dan selipar di sebuah pasar mini, Ahad lalu.
Tertuduh, Chua Kuan Jie, 33, yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut tuduhan, Kuan Jie didakwa mencuri lima peket makanan kucing, pewangi, jem roti dan selipar milik pasar mini Speedmart di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini pada pukul 5.30 petang, 10 Ogos lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda. Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dipenjara dan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan ke atas tertuduh, namun peguam Nigel Tai merayu jumlah yang rendah dengan alasan anak guamnya tidak bekerja, sedang menerima rawatan sakit mental dan ditanggung ibunya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE.