LIVERPOOL – Pemain sayap Liverpool, Federico Chiesa bersetuju membuat ‘pusingan U’ dengan memilih untuk kekal merebut tempat dalam kesebelasan utama menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Bournemouth awal pagi Sabtu ini.
Sebagai rekod, Chiesa sebelum ini diletakkan dalam senarai pemain untuk dijual apabila tidak menjadi pilihan pengurus, Arne Slot sepanjang kempen pramusim sejak bulan lalu termasuk terlepas siri Jelajah Asia.
Namun, Slot akhirnya pasrah terpaksa memanggil semula Chiesa pada aksi Perisai Komuniti, Ahad lepas selepas tidak memiliki pemain yang beraksi di jentera serangan yang mencukupi di bangku simpanan.
Situasi ini berlaku apabila The Reds membuat keputusan untuk menjual dua pemain berpengaruh, Darwin Nunez ke Al Hilal dan Luis Diaz ke Bayern Munich baru-baru ini.
Susulan itu, Liverpool terlah berhubung dengan ejen peribadi Chiesa, Fali Ramadani bahawa pemain berusia 28 tahun itu kembali berada dalam perancangan pasukan untuk kempen EPL musim ini. – AGENSI