LONDON – Kapten Chelsea, Reece James melaungkan keyakinan pasukan itu berada dalam kondisi terbaik menjelang aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace hujung minggu ini.
The Blues dianggap lebih berbisa menjelang saingan 2025/26, terutamanya selepas kemasukan beberapa pemain baharu seperti Joao Pedro, Liam Delap, Jamie Gittens dan Estevao Willian yang menambah sengat di bahagian serangan.
James berkata, saingan musim baharu adalah peluang terbaik buat dia dan rakan sepasukan, lebih-lebih lagi Chelsea sudah mengharungi tempoh sukar sejak dilepaskan pemilik sebelum ini, Roman Abramovich.
“Jika dilihat secara terperinci, kami menamatkan saingan musim lalu dengan cukup cemerlang apabila meraih dua trofi. Oleh itu, suasana dalam pasukan ketika ini cukup harmoni dan sangat meyakinkan.
“Semua orang tahu kami berdepan kesukaran beberapa tahun sebelum ini dan ia satu perjalanan yang jauh. Sekarang semangat kami berkobar-kobar dan penuh dengan keyakinan kerana kami adalah juara dunia,” katanya.
Justeru, pemain England itu menaruh sepenuh kepercayaan kepada rakan sepasukan mereka mampu untuk memberikan cabaran kepada mana-mana pasukan selain merebut setiap trofi yang dipertandingkan.
“Kami adalah Chelsea dan pasukan ini memang ditakdirkan untuk berada di kelompok teratas EPL. Kami akan cuba melakukan yang terbaik bagi merebut gelaran liga serta kejuaraan lain,” ujar James. – AGENSI