MACHANG – Seorang kanak-kanak dijumpai lemas selepas dipercayai terjatuh ke sungai apabila terkejut dengan kehadiran sekumpulan lembu yang tiba-tiba muncul di tepi sungai di Kampung Kelaweh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Muhammad Anaqi Syami Azmi, 7, dikatakan sedang bermain di tepi sungai tersebut bersama adik dan dua rakannya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Muhamad Osman berkata, siasatan awal mendapati, keempat-empat kanak-kanak itu terjatuh ke sungai sebaik menyedari kehadiran sekumpulan lembu ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, tiga daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang menyedari kejadian itu.
“Muhammad Anaqi gagal diselamatkan dijumpai oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.22 petang.
“Ketika kejadian, paras air sungai berkenaan dianggarkan sedalam 1.5 meter. Mangsa dijumpai kira-kira 0.5 meter dari tempat mereka jatuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE