SEOUL – Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon-hee ditahan lewat semalam atas pelbagai tuduhan termasuk memanipulasi saham dan rasuah, kata pendakwa raya.
Penangkapan tersebut dibuat beberapa jam selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul menyemak permintaan waran tangkap pendakwa raya terhadap wanita berusia 52 tahun itu.
“Waran tangkap terhadap Kim (Keon-hee) telah dikeluarkan,” kata pendakwa raya dalam satu kenyataan ringkas.
Tuduhan terhadap Keon-hee termasuk pelanggaran undang-undang pasaran modal dan pelaburan kewangan serta undang-undang dana politik.
Dengan penahanan itu, Korea Selatan kini mempunyai bekas Presiden dan bekas Wanita Pertama yang kedua-duanya dipenjarakan. Ia merupakan kes pertama seumpama itu dalam sejarah negara.
Penahanan itu juga menandakan kejatuhan dramatik bagi pasangan tersebut selepas pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas Presiden, Yoon Suk-yeol pada 3 Disember tahun lalu.
Suk-yeol didakwa dan disingkirkan daripada jawatannya pada April lalu susulan pengisytiharan undang-undang tentera. Ia mendorong Korea Selatan mengadakan pilihan raya mengejut pada Jun lepas.
Bekas Presiden itu kini ditahan atas kesalahan pengisytiharan undang-undang tentera tersebut. – AFP