PETALING JAYA – “Selalu orang (doktor) sambut kita beranak, ni kita pula sambut orang beranak. Orang tau, bukan haiwan ke apa. Betul-betul pengalaman tidak boleh dilupakan,”
Demikian kata Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, salah seorang orang awam yang membantu menyambut kelahiran seorang bayi di tepi jalan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor, kelmarin.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kejadian drastik itu berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika dia dan suami sedang dalam perjalanan ke Permas Jaya.
Kata suri rumah itu, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, seorang wanita berbangsa India di sebelah keretanya tiba-tiba menjerit memanggil meminta bantuan.
“Kejadian masa itu hujan renyai, tiba-tiba kakak India sebelah kereta panggil saya dia kata ada wanita hendak bersalin. Masa tu saya tak nampak apa yang berlaku.
“Apabila turun kereta baru saya lihat ada wanita sedang dalam posisi nak bersalin, kelihatan darah tumpah serta bayi sudah terkeluar separuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Syarifah berkata, dalam keadaan sangat genting tersebut, dia terus membantu mengampuh badan bayi yang terkeluar separuh itu sambil orang awam membantu wanita tersebut meneran.
“Bila ibu tersebut teran, bayi dapat keluar separuh, namun ibu tersebut mengadu masih sakit kemungkinan uri masih di dalam.
“Apabila dia teran kali kedua, barulah semuanya keluar, dengan gumpalan darah. Barulah ibu tersebut lega,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Syarifah berkata oleh kerana tiada peralatan seperti di hospital, dia dan orang awam di situ mengambil keputusan untuk mengikat tali pusat menggunakan tali kasut.
“Kami buat keputusan drastik itu selepas wanita India yang berada di situ menelefon kawannya yang merupakan seorang doktor demi menyelamatkan nyawa bayi dan ibu.
“Kebetulan seorang ‘rider’ ada tali kasut yang bersih. Alhamdulillah setelah selesai semuanya, dalam setengah jam kemudian ambulans datang dan membawa wanita dan bayi itu ke hospital berdekatan,” katanya.
Sebelum ini tular video di TikTok sehingga meraih 1.2 juta tontonan memaparkan kejadian dimana Syarifah beserta orang awam lain sedang menyambut kelahiran bayi berkenaan di tepi jalan.
Kelihatan ramai insan yang membantu proses kelahiran tersebut termasuklah penghantar-penghantar makanan yang memberikan payung serta air.
Menurut Syarifah, sebelum kejadian genting itu berlaku, saksi lain melihat ibu mengandung itu secara tiba-tiba turun dari motosikal yang dibawa suaminya sebelum terus membuat posisi ingin beranak di tepi jalan.
“Saksi lain nampak ibu mengandung itu dah tumpah darah semasa turun dari motosikal sebelum terus buat posisi nak beranak di tepi jalan.
“Saya difahamkan suami isteri berusia lingkungan 20-an itu mahu menuju ke hospital berdekatan untuk melahirkan anak mereka. Tadi saya terima panggilan daripada si suami yang memaklumkan isteri dan bayinya di hospital dalam keadaan selamat.
“Memang pengalaman pertama kali dan amat bermakna bagi saya, memang tidak sangka akan sambut kelahiran bayi di tepi jalan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@umisyarifahshop saya bersama akk indian dan yang lain membantu menyambut kelahiran seorang bayi di bahu tepi jalan Taman Bukit Dahlia,Pasir Gudang dalam keadaan berhujan. TERIMA KASIH SEMUA KORANG SEMUA MEMANG HEBAT .. bagi tuala baju tudung semua .. Video ini dirakam kerana orang ramai yang lalu menyangka kemalangan namun perkara sebaliknya berlaku. #pasirgudang #johorbahru #fyp #official #kotamasai #bersalintepijalan#astro #utusanmalaysia #pama #sinar#metro ♬ suara asli – Om Anggara98