fbpx
TANGKAP layar video lelaki Pakistan sedang mencuri minyak petrol daripada sebuah motosikal dalam kejadian di sebuah apartmen di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.

[VIDEO] Lelaki Pakistan, bini gunting saluran minyak sebelum curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki warga Pakistan dan isterinya ditahan selepas disyaki mencuri petrol dari tangki motosikal di sebuah apartmen di Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini.

Lelaki berusia 38 tahun dan pasangannya warga tempatan berusia 60 tahun ditahan pada pukul 11 pagi ketika melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pasangan itu ditahan polis bantuan apartmen berkenaan.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, seorang wanita tempatan berusia 28 tahun dan suami berusia 29 tahun mahu menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi.

“Pengadu nampak kelibat dua individu tidak dikenali sedang mencuri petrol motosikal suaminya.

“Dengan bantuan polis apartmen, kedua-dua suspek berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kumarasan berkata, selain tangkapan, pihaknya merampas dua botol berisi petrol dan sebilah gunting. Semakan mendapati pasangan itu tidak memiliki rekod jenayah.

Mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 20 saat menunjukkan seorang lelaki asing mengisi petrol ke dalam botol melalui saluran minyak motosikal yang digunting.

Dalam video itu suspek yang ditemani isteri tidak mengaku memotong saluran minyak tersebut, sebaliknya memberi alasan hanya mahu menolong individu lain selain menyatakan tidak mempunyai motosikal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI