MANCHESTER – Manchester United dilapor bersedia untuk mengadakan dua lagi aksi persahabatan tertutup sebelum turun menentang Arsenal pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris Ahad ini.
United menutup aksi pramusim rasmi ketika terikat menentang Fiorentina di Old Trafford kelmarin dan sepanjang tempoh rehat liga, mereka sudah turun menjalani perlawanan persahabatan melibatkan Leeds United, West Ham United, Bournemouth dan Everton.
Bagaimanapun, pengendali United, Ruben Amorim memerlukan dua lagi aksi persahabatan terakhir untuk menguji kekuatan mental selain perlawanan itu nanti juga bertujuan untuk melihat potensi dua pemain mereka.
United baru sahaja menerima ketibaan penggempur baharu, Benjamin Sesko menyebabkan Amorim mengakui dua perlawanan itu adalah untuk memastikan bekas penyerang RB Leipzig itu benar-benar bersedia untuk aksi menentang Arsenal.
Sementara itu, Amorim juga mahu menjadikan perlawanan itu nanti untuk menilai tahap dan proses pemulihan penjaga golnya, Andre Onana yang mengalami kecederaan hamstring dan sepatutnya terlepas beberapa aksi pada awal musim.
Sekiranya Onana gagal melepasi tahap kecergasan yang diharapkan, United terpaksa menurunkan Altay Bayindir buat sementara waktu ketika pemain itu juga mula menunjukkan kualiti yang lebih baik ketika ini.
Biarpun belum memutuskan pasukan yang bakal ditentang pada aksi itu nanti, Amorim mengakui sangat memerlukannya sebagai persiapan terakhir dan mengenalpasti kesebelasan terbaik untuk mereka turunkan berdepan Arsenal. – AGENSI