PETALING JAYA – Kemelut antara pelakon popular, Anna Jobling, dan ibu kandungnya, Ariz Arop, terus memanas apabila wanita terbabit tampil berkongsi luahan hati penuh emosi dalam media sosial.
Menerusi satu video dimuat naik dalam Instagram Story, Ariz dilihat menangis teresak-esak di hadapan sebuah balai polis selain mendedahkan rasa kecewa dek berasakan dirinya diperlakukan seperti ‘anjing kurap’ oleh anak yang dibesarkannya dengan penuh kasih.
“Adik (Anna) sudah terkenal, jangan lupa asal-usul. Tetapi tergamak dia, Walaupun ada beri duit, adakah itu bermakna boleh melayan saya begini? Dah macam taraf anjing kurap dah.
“Saya bergadai, bergolok dan jual kereta serta barang kemas hanya untuk kembali hidup bersamanya di Kuala Lumpur,” katanya.
Lebih memilukan, Ariz mendakwa Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling, 25, sanggup mendapatkan bantuan peguam demi mengelak berada dalam satu kereta dengannya.
“Pergi balik jadi pemandu tak bergaji, bawa dia ke sana sini. Ingatkan bolehlah tumpang senang. Saya tak minta kemewahan, cuma harapkan kebaikan seorang anak.
“Sebenarnya tiada apa-apa pun, masalah itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua pihak.
“Tapi tak sangka dia boleh panggil peguam, seolah-olah saya nak bunuh dia,” luahnya.
Dalam hantaran sama, Ariz turut menulis kapsyen ringkas menasihatkan pelakon filem Lembayung itu agar tidak lupa bahawa dalam setiap kejayaannya bermula daripada makbulnya doa seorang ibu.
“Terbang setinggi mana kau mahu terbang, tapi jangan lupa dalam setiap kejayaan itu ada doa seorang ibu. Ini yang dikatakan akhir zaman, mak lahirkan tuan,” tulisnya.
Luahan itu ternyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang membanjiri ruangan komen dengan pelbagai pandangan.
Ada netizen yang bersimpati, tidak kurang juga mengkritik kedua-duanya.
“Kalau benar cerita ibu, memang sedih. Ibu tetap ibu, jangan sampai hilang hormat,” tulis seorang pengguna Instagram.
“Harap kedua-dua pihak bertenang. Media sosial bukan tempat untuk selesaikan masalah keluargaz kadang-kadang ada juga ibu toksik dan begitu juga anak,” komen netizen.
“Semoga dipertemukan jalan damai. Dunia ini sementara, jangan biar perbalahan merosakkan kasih sayang darah daging,” tulis peminat.
Sebelum ini, Ariz pernah mendakwa Anna mengenakan perintah injunksi terhadap dirinya, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa keretakan hubungan mereka sudah sampai ke kemuncak. – KOSMO! ONLINE