BERMAIN dalam keadaan fikiran berserabut menjadi punca beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin gagal mempamerkan aksi cemerlang seperti ditampilkan sepanjang saingan musim lalu.
Prestasi gandingan No. 16 dunia itu dianggap tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila gagal melangkah ke separuh akhir sekurang-kurangnya dalam satu kejohanan disertai tahun ini.
Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky percaya corak pemikiran pasangan tersebut, terutamanya Su Yin menjadi penghalang untuk mereka meningkatkan permainan ke satu tahap lebih tinggi.
Beliau menggesa naib juara China Masters musim lalu itu supaya sentiasa kekal positif bagi mengatasi rasa gusar menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis bermula 25 hingga 31 Ogos ini.
“Apa yang saya lihat, memang prestasi mereka tiada perubahan. Saya fikir situasi ini mungkin disebabkan Su Yin masih belum dapat mengawal fikiran kerana dahulu dia bermain tanpa banyak tekanan.
“Sekarang jangkaan terhadap mereka lebih tinggi sehingga menyebabkan kedua-dua pemain merasakan tidak boleh kalah. Perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap prestasi mereka,” katanya.
Tambah pengendali dari Indonesia itu, prestasi Su Yin cukup berbeza jika dibandingkan sebelum ini di mana dia dilihat lebih berani dalam permainan sehingga mampu mencabar gandingan-gandingan terbaik.
“Sekarang apa kita lihat tidak sama seperti Su Yin yang sebelum ini lebih berani. Permainannya agak mendatar sekarang, jadi segala-galanya kembali kepada cara berfikir,” ujar Rexy.
Prestasi Pang Ron-Su Yin mula menunjukkan kemerosotan sejak Terbuka Malaysia pada Januari lalu dan sudah sembilan kali tersingkir di pusingan awal sepanjang saingan musim ini. – KOSMO! ONLINE