KUALA LUMPUR – Status kategori penyertaan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara ke Sukan SEA hanya akan ditentukan selepas berakhirnya kelayakan Piala Asia B-23, bulan depan.
Ketika ini skuad kendalian Nafuzi Zain itu masih belum diletakkan bawah ketegori A atau pun B kerana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih perlu membuat penilaian.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penilaian terhadap skuad Harimau Muda itu hanya akan dibuat berdasarkan prestasi mereka pada kelayakan Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 9 September depan.
“Untuk bola sepak, kita perlu tunggu (Kelayakan Piala Asia) pada September ini bagi pasukan lelaki sebelum kita boleh tentukan mereka layak atau tidak ke kategori A,” katanya.
Sebagai rekod, penyertaan dalam kategori A membolehkan pasukan atau atlet menerima tajaan penuh daripada pihak kerajaan manakala bagi kategori B, kos perlu ditanggung sendiri oleh persatuan sukan masing-masing.
Namun, perbelanjaan itu akan dibayar semula sekiranya mereka berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Kali terakhir skuad bola sepak negara berada dalam kategori A adalah pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jeffry Ngadirin berkata, peluang untuk skuad B-23 berada dalam kategori A masih terbuka tetapi skuad muda negara perlu membuktikan kualiti pada aksi kelayakan.
“Skuad bola sepak B-23 ada ruang (untuk disenaraikan dalam kategori A) jika mereka layak ke pusingan seterusnya Piala Asia AFC B-23 pada bulan september ini.
“Kalau mereka layak dan di kedudukan keempat terbaik Asia Tenggara, automatik layak kategori A. Bagi pasukan bola sepak wanita pula itu kena tanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya. – KOSMO! ONLINE