fbpx
Mohd Na’im bergambar bersama wakil syarikat pada Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Perniagaan 2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF

PPZ-MAIWP terima RM1.056 juta zakat perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima kira-kira RM1.056 juta zakat perniagaan bagi haul 2025 daripada 17 syarikat yang beroperasi di Wilayah Persekutuan.

Syarikat-syarikat tersebut menjalankan pelbagai perniagaan antaranya perunding kejuruteraan, stesen minyak, perniagaan telekung, restoran makanan, pengusaha keropok, aksesori kenderaan dan sebagainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bayaran zakat perniagaan menjadi penyumbang terbesar selepas zakat pendapatan dan trend ini terus meningkat setiap tahun.

“Justeru, saya mengajak kepada semua sama ada syarikat besar atau kecil termasuk individu untuk menunaikan zakat melalui PPZ-MAIWP.

“Zakat perniagaan yang ditunaikan oleh syarikat-syarikat ini tidak akan mengurangkan keuntungan mereka, bahkan akan menjadikan perniagaan terus maju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Perniagaan bagi meraikan 17 syarikat tersebut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im turut menyeru lebih banyak syarikat dapat menunaikan zakat pendapatan melalui potongan gaji bagi memastikan zakat dapat disalurkan secara konsisten setiap bulan kepada asnaf.

“Bagi syarikat yang mencapai 80 peratus penyertaan kakitangan Muslim dalam potongan zakat bulanan, kadar wakalah yang layak diterima boleh meningkat sehingga 37.5 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar.

“Ini peluang untuk syarikat bukan sahaja membantu asnaf di luar, malah menjaga kebajikan warga syarikat sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI