LONDON – Juara empat kali Tour de France (TdF), Tadej Pogacar mengakui sudah mula mengira tahun menuju persaraan, namun tetap bertekad menikmati detik manis di puncak prestasi sebelum melabuhkan kariernya.
Pelumba UAE Team Emirates-XRG itu sedar karier profesional dalam sukan berbasikal tidak akan bertahan lama walaupun kontraknya bersama pasukan hanya tamat pada 2030.
“Mungkin sedikit lucu kepada orang di luar sana bahawa saya sudah mula mengira masa sebelum membuat keputusan untuk bersara, tetapi hakikatnya kerjaya sukan tidaklah panjang.
“Saya mula menang agak awal dan semuanya berjalan lancar sejak itu. Setiap tahun kami berlatih dengan lebih keras dan pantas, jadi saya melihat masa depan dengan rasa seronok.
“Saya tahu kerjaya sukan tidak lama, tetapi di pihak lain pula saya sedar boleh menikmati tahap prestasi yang ada sekarang untuk beberapa tahun lagi.
“Namun, saya menjangkakan prestasi ini menurun pada satu ketika nanti dan akan tiba masanya tiada lagi kemenangan sebanyak sekarang. Malah mungkin hadir dengan musim yang sangat buruk,” katanya.
Pogacar yang memulakan saingan di peringkat Jelajah Dunia pada usia 20 tahun pada 2019 dan sejak itu memenangi perlumbaan termasuk empat gelaran Tour de France.
Antara trofi yang masih belum dimenanginya ketika ini ialah Vuelta a Espana, Milan-San Remo dan Paris-Roubaix.
Selepas temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028, dia akan mula serius memikirkan mengenai persaraan.
“Saya perlu bersedia segala kemungkinan, sebab itu saya lebih menghargai masa kini. Nanti akan tiba masa untuk berhenti, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada perlumbaan tahap tinggi ini,” katanya. – AGENSI