REMBAU – Pegawai perhubungan sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis akan diminta untuk memberikan nasihat kepada pelajar yang dikesan membuli menggunakan perkataan kurang sesuai sehingga menimbulkan rasa kurang selesa pelajar lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, pihaknya sudah pun menerima laporan polis dibuat oleh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini berusia 14 tahun berkenaan pada 1 Ogos lalu di Balai Polis Chembong.
Menurutnya, laporan polis dibuat pelajar tersebut bagi membolehkan pelajar itu berpindah ke sekolah lain kerana dipercayai tertekan dibuli secara lisan.
“Oleh itu, kita akan minta PPS sekolah terbabit untuk memanggil individu berkaitan bagi memberi nasihat untuk tidak cenderung menggunakan perkataan kurang sesuai yang boleh dianggap sebagai buli lisan.
“Ini termasuklah perkataan yang boleh dianggap menghina. Malah, jika dikesan membabitkan buli fizikal tindakan lanjut akan diambil, namun buat masa ini kita dapati ia adalah membabitkan buli lisan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Rembau mengalami trauma selepas menjadi mangsa buli rakannnya.
Ini susulan pelajar berkenaan dikatakan enggan membenarkan rakan sekelasnya meniru ketika peperiksaan.
Bapa pelajar tersebut, Mohd. Anas Sudin dilaporkan berkata, anaknya dihina dan diejek dengan perkataan ‘kacip’ sehingga membuatkannya tidak mahu lagi pergi ke sekolah.
Difahamkan ‘kacip’ yang dimaksudkan oleh pelajar itu adalah merujuk kepada ciri-ciri yang menunjukkan seseorang itu khayal.
Justeru itu, Mohd Anas telah memindahkan anaknya ke sekolah lain susulan senario buli lisan itu memberi kesan emosi ke atas anaknya. – KOSMO! ONLINE