LONDON – Kemenangan ke atas Liverpool pada perlawanan Perisai Komuniti memberikan hadiah paling bernilai buat Crystal Palace yang kini menjulang trofi kedua dalam tempoh tiga bulan selepas memenangi Piala FA Mei lalu.
Pengurusnya, Oliver Glasner menjelaskan perasaan dan nikmat meraih kemenangan nyata tidak boleh diganti dengan wang ringgit terutama ketika lawan mereka turun dengan pasukan yang penuh kualiti selepas berbelanja besar untuk mendapatkan pemain baharu.
Mengulas mengenai kejayaan pasukannya, Glasner sendiri mendedahkan rahsia bagaimana untuk menyuntik aura juara ke dalam diri setiap pemainnya ketika berdepan lawan yang lebih berkualiti.
“Sebelum ke Wembley, kami menunjukkan video kegembiraan penyokong selepas kami memenangi Piala FA. Dapat berdiri di depan penyokong dengan emosi begini adalah satu perasaan yang tidak boleh dibeli.
“Jadi, kami berhak untuk mendapatkan semua ini, sama ada ketika memenangi Piala FA dan juga kejayaan kali ini. Penyokong kami sudah berikan sokongan sejak daripada awal hingga akhir.
“Apabila kami ketinggalan, mereka kekal memberikan sokongan dan saya dapat lihat ada keserasian antara pasukan dan penyokong. Kami sudah memperoleh ganjaran dan semua ini akan kekal selama-lamanya,” katanya.
Pada aksi di Stadium Wembley, kelmarin, Palace dua kali ketinggalan sebelum mempamerkan kebangkitan untuk mengikat perlawanan 2-2 untuk masa sebenar dan mereka ternyata lebih bertuah apabila memenangi penentuan sepakan penalti dengan 3-2.
Penjaga gol Palace, Dean Henderson paling mencuri perhatian apabila muncul wira pasukannya dengan menyelamatkan dua sepakan, Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott selain rembatan Salah tinggi melepasi palang gawang.
Tahun 2025 dianggap tahun yang cukup cemerlang buat The Eagles apabila mereka berjaya merangkul dua kejuaraan utama, malah Perisai Komuniti merupakan trofi pertama diraih sepanjang sejarah kelab itu.
Sebelum kejayaan memenangi Piala FA pada Mei lalu dengan menewaskan Manchester City, kali terakhir Palace menjulang trofi pada musim 1993/94 ketika mereka menjuarai saingan divisyen kedua dan selepas itu sepanjang 31 tahun mereka gagal meraih apa-apa kejayaan. – AGENSI