fbpx
Elly Mazlein bertindak menjauhkan diri daripada individu toksik bagi menjaga kesejahteraan emosi dan kehidupannya.

‘Nak hidup tenang, jauhi individu toksik demi kesihatan mental’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Nekad angkat kaki, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein mengambil tindakan menjauhkan diri daripada individu toksik bagi menjaga kesejahteraan emosi dan kehidupannya.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata, tidak rugi enggan dilingkungi golongan yang membawa aura negatif kerana ramai lagi insan positif di sekelilingnya.

“Bagi saya mudah sahaja untuk kita kekal tenang iaitu dengan cara menghindari orang yang bersikap toksik. Jangan ada apa-apa kaitan dengan mereka.

“Kita layak dapat kawan yang lebih baik, bawa aura positif, bahkan paling penting kena selalu utamakan kesihatan mental. Itu lebih utama.

“Usah bazirkan masa tunggu mereka berubah, cukuplah kita sendiri lorongkan diri berada dalam persekitaran kecil tapi menyenangkan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Kilauan Emas musim lapan, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman, Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu juga memilih tidak melayan mana-mana individu yang sengaja mencetuskan provokasi.

Katanya, tindakan pihak terbabit dilakukan agar dirinya ‘meletop’, namun akui Elly bukan sifatnya untuk berada sama tahap dengan individu toksik tersebut.

“Memang ada jenis jerit depan pintu, jadi kita elak kalau dah nampak tanda-tanda sebegitu, jangan dilayan kerana itu sebenarnya kemahuan mereka.

“Bukan takut, cuma kalau dilayan nanti kita juga setara macam mereka sedangkan kita dididik dengan adab dan hormat pada orang sekeliling,” ujarnya.

Mengenai Kilauan Emas 2025 bermula 26 Ogos depan di Astro Prima, Elly yang diamanahkan sebagai pengacara utama teruja untuk memeriahkan program pertandingan itu.

“Sebagai hos, saya juga memainkan peranan penting dalam memastikan emosi peserta tenang kerana banyak cabaran menanti sepanjang perjuangan mereka ini.

“Melihat bakat serta keupayaan yang ditonjolkan 12 peserta dalam persembahan pengenalan, saya jangka persaingan juga semakin sengit,” ujarnya.

Selain pelawak Joey Daud selaku hos belakang pentas, Kilauan Emas 2025 turut diserikan barisan juri yang popular iaitu Erra Fazira, Ning Baizura dan Roy Azman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI