PETALING JAYA – Pengendali bagi helikopter Bell 2064L4 yang terlibat nahas di Bentong, Pahang pada 6 Februari lalu didapati gagal mematuhi prosedur keselamatan sewaktu mengisi minyak secara ‘hot refuelling’.
Dapatan tersebut diperoleh menerusi laporan awal berhubung nahas melibatkan helikopter itu sehingga menyebabkan seorang maut, yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) iaitu badan bebas di bawah Kementerian Pengangkutan.
Laporan itu menjelaskan, pihak pengendali pesawat tidak mematuhi prosedur keselamatan kerja yang ditetapkan bagi pengisian minyak panas.
“Ketidakpatuhan ini menimbulkan potensi risiko dan boleh membawa kepada keadaan yang tidak selamat. Tindakan tidak selamat oleh juruterbang dan jurutera darat telah mewujudkan potensi bahaya.
“Helikopter berada dalam keadaan berlegar dengan bilah kipas masih berpusing sambil bergerak menghampiri jurutera, yang berada tepat di bawah.
“Ini adalah satu pelanggaran langsung yang menetapkan bahawa kru mesti menunggu pada jarak selamat dari titik pendaratan,” menurut laporan awal berkenaan.
Berdasarkan peraturan, kru pengisian minyak hanya boleh menghampiri helikopter selepas menerima arahan jelas iaitu isyarat ibu jari ke atas daripada juruterbang.
“Bagaimanapun, kru telah berada di bawah helikopter ketika ia masih berlegar dan sedang menghampiri untuk mendarat, menunjukkan pelanggaran jelas terhadap prosedur ini,” katanya.
Ketiadaan pegawai keselamatan untuk menyelia proses pengisian minyak panas telah menyumbang kepada sikap sambil lewa kru, sekali gus meningkatkan risiko operasi.
Laporan itu menyebut, pada hari kejadian, pesawat berkenaan kembali ke tapak pendaratan untuk mengisi minyak serta hilang kawalan ketika masih berlegar sebelum bergesel dengan tanah.
Ini menyebabkan ia terbalik dan terbakar, manakala bilah kipas terkena jurutera di darat.
Pada 6 Februari lalu, Kosmo! melaporkan seorang pegawai pembantu helikopter maut selepas helikopter jenis Bell 206 Long Rang L4 dinaikinya terbalik dan terbakar ketika mendarat di Bentong Fruit Farm, Jalan Lama Kuala Lumpur.
Mangsa yang merupakan lelaki warga Indonesia dipercayai meninggal dunia selepas terkena kipas helikopter berkenaan. Bagaimanapun, juruterbang helikopter dilaporkan selamat. – KOSMO! ONLINE