PETALING JAYA – Proses penggalian semula jenazah pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, menjadi tumpuan seluruh negara apabila jasadnya didakwa masih utuh walaupun sudah dikebumikan hampir tiga minggu lalu.
Seorang lelaki dipercayai pemandu van jenazah merangkap penggali kubur yang terlibat dalam proses ekshumasi itu berkongsi rasa terkejut dan sebak ketika melihat jasas remaja tersebut.
“Dari awal jenazah arwah Zara dikeluarkan dari liang, betapa Allah menjaganya. Jasadnya masih elok biarpun sudah meninggal dunia lebih tiga minggu,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.
Menurutnya, sebelum penggalian dimulakan, mereka menerima taklimat untuk mengutip apa sahaja bahagian jenazah yang ditemui, tanpa mengira keadaan atau rupanya.
“Biasanya kain kapan akan melekat dengan tanah, bercampur dengan cecair dari tubuh yang keluar secara semula jadi mengikut hukum sains. Tetapi apabila jenazah Zara dikeluarkan, ia masih lengkap dibaluti kain, bersama jasad yang sempurna.
“Saya menangis. ALLAH pelihara dia. Ini cerita yang baik,” luahnya.
Perkongsian lelaki itu turut menerima pelbagai reaksi orang ramai terutama yang rata-rata memberi tumpuan kepasa kes tersebut.
“Jangankan tiga minggu, kalau dua atau tiga hari pun sudah pasti jenazah berubah. Kuasa Allag yang Maha Besar,” kata Suhada.
“Tiada seorang pun menutup hidung, bermakna jenazahnya tidak berbau. Saya yakin benar jasadnya masih utuh, sempurna seperti baru sahaja meninggal dunia,” komen Athif.
“Kamu anak yang baik, Allag memuliakan kamu. Syurga tempatmu Zara. Semoga keadilan berpihak kepadamu,” kata pengguna lain.
Terdahulu, proses menggali kubur Zara Qairina mengambil masa hampir dua jam iaitu dipercayai bermula sekitar pukul 5.30 petang dan selesai pada pukul 7.15 malam pada Sabtu lalu.
Jenazah Zara Qairina dibawa keluar dari kawasan tanah perkuburan menggunakan trak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I dan dibedah siasat dari pukul 11 pagi hingga 7 malam Ahad, seterusnya dikebumikan semula pada malam yang sama. – KOSMO! ONLINE