SEREMBAN – Lelaki yang maut ditikam di hadapan rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang, di sini semalam baru bertunang dengan gadis pilihan hatinya kira-kira dua minggu lalu.
Adik mangsa, Muhammad Amirul Hakim Mohd. Niza, 27, berkata, dia sepatutnya menemani abang sulungnya, Muhammad Amirul Rasyid, 28, yang juga duda membeli barang hantaran semalam, tetapi hajat tersebut tidak kesampaian.
“Abang menduda sejak tiga ke empat tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.
“Sepatutnya abang akan berkahwin dengan tunangnya yang berasal dari Sendayan tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Pagi hari ini.
Anak kedua daripada 12 beradik itu berkata, ketika kejadian pada pukul 6.40 petang itu, dia sedang melepak bersama arwah di luar rumah dan ternampak kereta suspek yang diletakkan bersebelahan.
“Saya sangka itu (suspek) kawan abang. Tiba-tiba suspek datang ke arah abang dengan sebelah tangan di belakang lalu menikam dada.
“Saya segera pegang suspek untuk selamatkan abang kerana dia masih memegang pisau sebelum menjerit memanggil abah. Lelaki itu cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap jiran yang mengikatnya dengan tali,” katanya.
Jelas Muhammad Amirul, arwah abangnya meninggal dunia di pangkuannya dan sempat menyebut perkataan Allah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
“Masa kejadian, kami semua 12 beradik, emak dan ayah berada di rumah. Emak hampir pengsan kerana dia baru sahaja menjalani pembedahan ketumbuhan di otak,” katanya.
Muhammad Amirul begitu terkesan dengan pemergian arwah abangnya memandangkan hubungan mereka rapat dan sentiasa berdua walau ke mana sahaja.
“Kira-kira 10 minit sebelum kejadian, saya dan arwah abang baru pulang berjalan bersama anaknya,” katanya yang memberitahu anak arwah tinggal bersama di rumah tersebut selepas berpisah dengan bekas isteri.
Jenazah arwah Muhammad Amirul Rasyid yang tiba dari Jabatan Forensik, Hospital Rembau disolatkan di Surau Taman Seri Pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Heights- KOSMO! ONLINE