KOTA BHARU – Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Imigresen FC (Imigresen) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Penyerang Imigresen, Joao Pedro Duarte hampir membuka jaringan, namun bola tandukannya sipi di sebelah kanan pintu gol Kelantan TRW.
Kelantan TRW sepatutnya mendahului pada minit ke-36 melalui tandukan kapten pasukan, Ifedayo Omosuyi hasil sepakan penjuru Muhammad Nor Azam Abdul Azih, namun dibatalkan apabila dia didakwa melakukan kekasaran sebelum jaringan itu melalui semakan Video Pembantu Pengadil (VAR).
Pasukan pelawat kemudian mendapat peluang keemasan untuk membuka jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-42 susulan terjahan keras M. Rakesh ke atas pemain lawan.
Peluang tersebut tidak disia-siakan oleh Eduardo Jose Vegas untuk memastikan Imigresen FC mendahului 1-0 pada penghujung separuh masa pertama sebelum kedua-dua pasukan bergerak ke bilik persalinan.
Bermula babak kedua, Kelantan TRW yang dikendalikan oleh E. Elavarasan terpaksa bekerja keras untuk menembusi benteng pertahanan Imigresen dan mencari gol penyamaan bagi mengelak daripada dimalukan di gelanggang sendiri.
Malang menimpa skuad kendalian Yusri Che Lah apabila kehilangan seorang pemain apabila Amirali Chegini dilayangkan kad merah pada minit ke-76 apabila menepis cubaan Muhammad Farris Izdham Mohd. Rosli menggunakan tangan sekali gus membolehkan pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti.
Peluang keemasan itu tidak disia-siakan oleh Ifedayo untuk menjaringkan gol penyamaan bagi kedudukan pada minit ke-78, membolehkan Kelantan TRW kembali mengimbangi perlawanan.
Keputusan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE