ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta kebangkitan untuk menewaskan skuad Hobin Jang Hobin 5-3 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Skuad kendalian Mohd. Nidzam Jamil itu mengejutkan pasukan tuan rumah apabila berada di hadapan hasil jaringan Joseph Esso dan Jovan Motika.
Gol pertama Negeri Sembilan FC (NSFC) hadir seawal minit kelapan setelah Alexander Agyakwa bijak melakukan lorongan bola kepada Esso yang melepasi perangkap ofsaid Harimau Selatan sebelum menggelecek penjaga gol, Christian Abad untuk mencipta jaringan.
Pasukan tuan rumah hampir menyamakan kedudukan apabila Jon Irazabal menanduk bola daripada sepakan sudut Hector Hevel namun Agyakwa yang berada di pintu gol NSFC menafikan percubaan itu.
Ketika JDT rancak mengatur serangan, pasukan pelawat menambah jaringan apabila Agyakwa sekali lagi membuat bantuan gol apabila mengumpan bola kepada Motika yang mudah memanfaatkan hantaran itu bagi membolosi gawang lawan.
JDT semakin hampir memecahkan kebuntuan menerusi percubaan Joao Figueiredo pada minit ke-24 namun Azri Abdul Ghani bertindak pantas memastikan gawang NSFC tidak dibolosi.
Panik dengan situasi itu, pengendali JDT, memasukkan Arif Aiman Hanapi menggantikan Moussa Sidibe dan kehadiran pemain paling bernilai (MVP) musim lalu berjaya mengubah rentak permainan Harimau Selatan.
Sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman pada minit ke-38 berjaya disambut oleh Irazabal untuk menjaringkan gol pertama buat pasukan tuan rumah sekali gus merapatkan jurang gol.
Namun, kesilapan Wai Lin Aung yang melakukan hantaran ke belakang menghukum pasukan pelawat apabila bola itu disambut oleh Figueiredo yang menjaringkan gol penyamaan perlawanan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak garang melakukan serangan bertali arus ke arah kubu lawan bagi memburu jaringan.
JDT buat pertama kali berada di hadapan setelah Irazabal meledak gol kedua peribadinya setelah menyudahkan hantaran Hevel bagi menewaskan Azri pada minit ke-57.
Seminit berselang, Harimau Selatan melebarkan kedudukan apabila Arif Aiman yang bijak melepaskan perangkap ofsaid NSFC bagi meledak gol keempat JDT pada minit ke-58.
The Jangs tidak betah dengan jaringan itu bahkan berjaya merapatkan jurang dua minit kemudian setelah Motika menjaringkan gol kedua peribadinya apabila mudah menggelecek Abad sebelum meledak gol pada minit ke-60.
Skuad Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti selepas N. Javabilaarvin menjatuhkan Arif Aiman dalam kotak penalti namun sepakan penalti yang diambil Jairo Da Silva melambung jauh dari pintu gol.
Azri beraksi dengan cemerlang pada 10 minit terakhir perlawanan apabila menafikan beberapa peluang keemasan JDT yang mencari gol kelima.
Gol kelima JDT hadir pada masa kecederaan hasil jaringan Bergson Da Silva menerusi aksi akrobatik sekali gus menutup aksi penuh dramatik di Stadium Sultan Ibrahim.
Jaringan tersebut sekali gus meletakkan Bergson sebaris Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 106 gol. – KOSMO! ONLINE