KUALA KRAI – Seorang buruh yang dipercayai membunuh bapanya dengan kerusi kayu selepas mangsa menunaikan solat subuh di rumah mereka di Kampung Kuala Gris di sini pada 6 Ogos lalu, akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, lelaki yang berusia 39 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini dengan kenderaan polis pada pukul 7.30 pagi esok.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan kerusi kayu oleh anaknya ketika sedang menunaikan solat subuh dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, di sini pada 6 Ogos lalu.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Othman Jusoh, 74 meninggal dunia di rumah tersebut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Mazlan berkata, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Menurutnya, lelaki itu merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai selepas ditahan atas kesalahan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE