PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan pihaknya memohon peruntukan tambahan dalam pembentangan Belanjawan 2026 Oktober nanti bagi membaik pulih sistem lebuh raya dan jalan raya utama seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, membaik pulih beberapa jalan utama terutamanya Jalan Raya Timur Barat (JRTB) merupakan keutamaan pihaknya ketika ini.
” Itu bukan lagi mesti buat tetapi sudah menjadi keutamaan kepada kementerian untuk menyelesaikan masalah ini.
” Kita sudah buat kajian, jadi peruntukan itu kita tahu kena tambah dan perlu lebih daripada yang pernah diberikan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas Sesi Dialog Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.
Dalam majlis yang berlangsung lebih dua jam itu, seramai 150 pemain industri termasuk bidang pembinaan bangunan dan jalan raya telah mengadakan dialog bersama KKR bagi meneliti belanjawan yang bakal diberikan kepada kementerian tersebut Oktober nanti.
Dalam pada itu, Nanta berkata, pemain indutri juga kini perlu bersaing dalam teknologi baharu dalam dunia pembinaan dan mengharapkan satu lagi bajet tambahan untuk diberikan kepada mereka.
”Kita tidak mahu ketinggalan dalam segi teknologi, dalam dunia pembinaan kita juga tidak ingin terlepas dengan teknologi baharu,” tambahnya.
Terdahulu, Pembentangan Belanjawan 2026 akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober nanti di Dewan Rakyat.
Belanjawan kali ini menjadi tumpuan kerana berada dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selama lima tahun. – KOSMO! ONLINE.