PUTRAJAYA – Kemudahan Multiple Entry Visa (MEV) yang diperkenalkan Kerajaan Malaysia kepada pekerja asing Bangladesh disifatkan sebagai satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan besar tenaga kerja negara itu dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim berkata, pelaksanaan kemudahan visa itu adalah inisiatif dipersetujui bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia terutamanya bagi memudahkan pekerja pulang bertemu keluarga dan lebih terjamin dalam pekerjaan mereka.
“Kerajaan Bangladesh telah mengemukakan beberapa cadangan dan kami telah memberikan keutamaan khususnya untuk membantu pekerja yang terkandas.
“Pekerja Bangladesh telah memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan negara. Kemudahan visa ini akan memberi peluang kepada mereka untuk pulang berjumpa keluarga dan kembali bekerja dengan rasa lebih terjamin,” katanya dalam sidang akhbar bersama Prof. Dr. Muhammad Yunus sempena lawatan tiga hari Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh itu di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
Kemudahan MEV mula diberikan kepada pekerja asing warganegara Bangladesh berkuat kuasa 8 Ogos lalu dalam usaha memperkukuhkan pengurusan keluar masuk pekerja asing yang sah.
Pelaksanaan visa itu juga akan dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan pas imigresen menerusi sistem pemantauan yang lebih sistematik apabila ia akan diselaraskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu-pintu masuk antarabangsa bagi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah.
Dalam pada itu, Anwar berkata, selain isu pekerja, Malaysia dan Bangladesh turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, sektor halal dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ini termasuk bidang penyelidikan serta semikonduktor, di samping meneruskan usaha menangani isu kemanusiaan pelarian Rohingya di rantau ini.
Jelas Anwar, Malaysia turut prihatin terhadap beban yang ditanggung Bangladesh dalam menampung jumlah besar pelarian Rohingya.
“Justeru, memastikan keamanan di Myanmar adalah keutamaan besar, selain menyediakan bantuan kemanusiaan segera kepada mangsa yang menderita bermula dengan pelarian, diikuti mangsa gempa bumi.
“Menteri Luar Negeri Malaysia akan menyelaras pasukan bersama Indonesia, Filipina dan Thailand untuk mengadakan lawatan ke Myanmar dalam beberapa minggu akan datang bagi memastikan keamanan dapat dicapai, dan kekejaman terhadap sesetengah kumpulan etnik serta rakyat Myanmar dapat diselesaikan secara aman,” katanya. – KOSMO! ONLINE