fbpx
Shahlan yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina.

Kami menahan diri keluar kenyataan bedah siasat Zara Qairina – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peguam kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan, pihaknya akan menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan bedah siasat bagi mengelakkan berlaku percanggahan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Shahlan Jufri dan Mohd. Luqman Syazwan Zabidi menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan malam ini.

“Seperti dimaklumkan oleh Shahlan semalam, terdapat kecederaan ditemui pada tubuh Zara Qairina semasa bedah siasat.

“Demi mengelakkan berlaku percanggahan di antara laporan lisan bedah siasat yang dimaklumkan kepada kami dan ibu Zara Qairina selepas tamat bedah siasat semalam, dengan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh pihak hospital, kami menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan bedah siasat itu,” kata mereka.

Dalam pada itu, pihak peguam turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengarahkan polis membuat permohonan menggali semula kubur Zara Qairina, seterusnya melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.

“Kami juga berterima kasih kepada polis yang telah mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua individu termasuk wartawan media yang berada di tanah perkuburan dan persekitaran Hospital Queen Elizabeth 1 dari pagi hingga malam bagi menyaksikan proses penggalian, pengebumian jenazah dan bedah siasat. Sokongan anda semua amat kami hargai,” menurut kenyataan tersebut.

Zara Qairina, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.

Kematian pelajar tingkatan satu itu mendapat liputan meluas selepas disyaki mempunyai kaitan dengan gejala buli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI