PETALING JAYA – Menjernihkan yang keruh, pelakon Fattah Amin mencuri perhatian netizen selepas memuat naik video memaparkan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, berbual mesra dengan neneknya melalui panggilan video.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, turut menulis kapsyen pendek yang memberi gambaran hubungan puteri tunggal dan ibunya berada dalam keadaan baik.
“Dah jangan gaduh-gaduh ya.
“Fatima okey sahaja dengan nenda. Tengah berbincang nak pergi Disneyland,” tulisnya.
Perkongsian tersebut segera mengundang pelbagai reaksi netizen yang lega melihat hubungan kekeluargaan itu masih harmoni.
“Alhamdulillah, lega tengok semua baik-baik sahaja, apa jua masalah selesaikanlah antara kalian sahaja, tidak perlu dihebohkan,” komen seorang pengguna media sosial
“Seronok tengok Fatima rapat dengan nendanya, biasalah budak-budak kadang-kadang mahukan perhatian tetapi tak bermakna perasaan mereka tidak valid,” tulis seorang peminat.
“Semoga hubungan ini kekal mesra dan bahagia sampai bila-bila, pada akhirnya mereka tetap anak beranak,” ujar netizen
Terdahulu, tular rakaman siaran langsung memaparkan Fatima mengadu kepada ibunya, pelakon Nur Fazura, mendakwa neneknya berkata dia tidak comel dan tidak pandai.
Namun, Fazura menafikan dakwaan tersebut dengan nada tenang serta menjelaskan mustahil ibu mentuanya tergamak melontarkan kata-kata sedemikian.
Adik Fattah, Raihan Amin, turut tampil menolak tuduhan yang mendakwa ibunya, Azizah Abd Ghani, mengeluarkan kata-kata negatif terhadap cucu kesayangannya. – KOSMO! ONLINE