MERSING – Jabatan Perikanan Negeri Johor melalui Pejabat Taman Laut Negeri Johor mengesan beberapa laporan kehadiran ubur-ubur di kawasan perairan daerah ini.
Sehubungan itu, semua pengunjung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di pantai termasuk snorkeling dan selam skuba.
Menurut kenyataan Pejabat Perikanan Negeri Johor, orang ramai juga digalakkan memakai pakaian bertutup sepenuhnya atau yang sesuai bagi mengelakkan terkena sengatan ubur-ubur yang boleh mendatangkan bahaya.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 40 peserta program Teluk Senangin Open Water Swim 2025 disengat ubur-ubur ketika berenang di pantai tersebut, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE