KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan Asyraf Khalid telah memfailkan saman terhadap penyanyi rap Caprice berhubung hantaran berbaur fitnah dalam media sosial yang dimuat naik pada bulan lalu.
Menurut peguam Abdul Hakiem Aiman yang mewakili Ashraf, pihaknya selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Caprice sebagai defendan pada 4 Ogos lalu.
“Terdapat kenyataan fitnah yang diterbitkan oleh defendan (Caprice) di platformnya (Instagram) yang merujuk kepada video teaser (pra-penyiaran) yang akan diterbitkan anak guam saya menerusi poadcast (audio siar). Hantaran berbaur fitnah itu diterbitkan sebanyak 31 kali menerusi platform defendan,” katanya.
Peguam itu mengesahkan demikian ketika ditemui selepas prosiding berhubung pendengaran injunksi kes itu dalam kamar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Suzana Muhamad Said di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sebelum ini, Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf dalam satu sidang media memaklumkam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi Caprice susulan ‘serangan’ yang dilakukan terhadapnya dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut anak tiri kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu, segala tuduhan yang dilemparkan berhubung temu bual audio siar dengan seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu memberi impak sehingga menganggu mental dan emosinya selain merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.
Kata Asyraf paling mengecewakan, kecaman netizen yang dilemparkan terhadapnya terlalu negatif sehingga digelar perogol, pedofilia dan juga serangan terhadap keluarganya.
Kontroversi itu berlaku apabila, Caprice menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu ke program audio siar tersebut.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, berang apabila individu yang didakwa pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga diketengahkan dalam podcast tersebut.
Selain berkongsi semula beberapa foto kecederaan mangsa yang mendakwa dilakukan lelaki terbabit, Caprice berkongsi tangkap layar mesejnya dengan Asyraf.
Terdahulu, netizen menyerang laman sosial Apa Cerita? Podcast selepas Asyraf memuat naik potongan klip pendek daripada video wawancara audio siarnya dengan wajah tetamu tersebut dikaburkan.
Perkongsiannya mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai yang mempersoal motif sebenar suami kepada pelakon Tya Ariffin itu mengundang individu terbabit sebagai tetamu program berkenaan. – KOSMO! ONLINE