LIVERPOOL – Everton semakin hampir mendapatkan khidmat bintang Manchester City, Jack Grealish secara pinjaman semusim selepas pemain berusia 29 tahun itu memberi ‘lampu hijau’ untuk berpindah menyertai kelab itu.
The Toffees yang sudah membawa masuk lima pemain baharu musim panas ini, menjadikan Grealish sasaran utama pengurus, David Moyes bagi menambah kreativiti serangan biarpun Tottenham Hotspur turut berminat mendapatkan khidmatnya.
Grealish melihat perpindahan itu sebagai peluang terbaik untuk kembali bermain secara tetap sekali gus meningkatkan peluangnya merebut tempat dalam skuad England bimbingan Thomas Tuchel menjelang Piala Dunia 2026.
Perbincangan kini lebih tertumpu kepada struktur pembayaran gaji Grealish yang mencecah £300,000 (RM1.71 juta) seminggu selain Everton juga dikatakan sanggup menanggung kos keseluruhan yuran pinjaman sekitar £12 juta (RM68.45 juta).
City tidak menghalang perpindahan tersebut selepas Grealish diketepikan dan tiada dalam perancangan Pep Guardiola untuk menghadapi saingan musim baharu kali ini.
Sejak tiba dari Aston Villa pada 2021 dengan rekod perpindahan £100 juta (RM570.43 juta), Grealish hanya mampu meledak 17 gol dalam 157 perlawanan dalam semua kejohanan termasuk tiga jaringan liga pada musim lalu.
Meskipun kemungkinan bidaan lewat daripada Spurs atau kelab lain tidak boleh diketepikan, Everton kekal pilihan utama untuk mendapatkan tandatangannya sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September ini. – AGENSI