KLANG – Taktik penyelewengan barangan berjadual diesel menggunakan lori yang telah diubah suai tumpas selepas digempur pihak berkuasa di sekitar daerah ini semalam.
Serbuan bermula pukul 7 petang melibatkan dua premis itu berjaya menahan empat suspek termasuk dua warga asing berusia lingkungan 35 hingga 45 tahun.
Operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM100,000.
Pengarah KPDN negeri, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, kejayaan itu hasil risikan selama sebulan dengan serbuan pertama melibatkan sebuah lori kanvas yang sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Pelabuhan Klang
Jelasnya, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati lori itu diubah suai dengan muatan dua tangki lain.
“Pengubahsuaian itu dipercayai bagi membuat pengisian diesel yang dibeli daripada stesen minyak untuk diseleweng dan dijual demi mengaut keuntungan.
“Lori itu kemudian akan menuju ke sebuah stor haram di Kampung Telok Gong yang juga lokasi serbuan kedua bagi pemindahan minyak tersebut,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Zuhairi, empat lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan dan penjaga premis.
“Selain sebuah lori, sitaan melibatkan dua tangki berisi disyaki diesel, satu unit square tank, empat unit skid tank dan 46,000 liter diesel bernilai RM100,000.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kita akan mengenal pasti individu, syarikat serta rantaian pengedaran bekalan diesel tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE