fbpx
Isteri dan dua anak kepada seorang doktor klinik swasta dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini untuk prosiding sambung reman. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

Dua anak, isteri doktor edar 35 kg ganja disambung reman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Reman dua anak kepada seorang doktor klinik swasta dan ibu mereka yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 35 kilogram (kg) bernilai RM299,590 pada minggu lalu disambung enam hari.

Lanjutan reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 23, 34 dan 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bermula esok hingga 17 Ogos ini.

Permohonan sambung reman itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan menaiki trak polis.

Salah seorang daripada suspek lelaki sempat menyapa wartawan yang berada di pekarangan mahkamah dengan ucapan ‘morning everyone’ ketika dibawa ke lokap.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua beradik yang juga anak kepada seorang doktor klinik swasta diberkas polis selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 35 kg bernilai RM299,590 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh di sini pada Selasa minggu lalu.

Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 16 butir peluru.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua lelaki yang merupakan adik-beradik tiri positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan awal mendapati, mereka menjadikan rumah tersebut sebagai transit sebelum mengedar dadah tersebut kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI