MELAKA – “Saya cuba halang, tapi dia pujuk kata sekali je nak naik motosikal, tak sangka itu kali terakhir saya lihat dia,” luah Norliana Mohd Ali, 31, isteri kepada mangsa kemalangan maut di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kandang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi itu, suaminya, Muhammad Fauzy Borhan, 33, maut di lokasi selepas motosikal Yamaha NVX yang ditunggang merempuh pokok tumbang, manakala adiknya, Muhammad Naim, 30, parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka.
Norliana yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Muar sejak tujuh tahun lalu berkata, arwah suaminya menunggang motosikal untuk bertemu rakan di Semabok, Melaka, malam tadi.
“Saya pelik sebab dia dah lama tak bawa motosikal, ke mana-mana pun biasanya naik kereta saja, saya cuba larang tapi dia beritahu sekali je.
“Akhirnya saya izinkan dia pergi, tak sangka saya akan terima khabar duka ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.
Tambah ibu tiga anak itu, adik iparnya dari Bakri turut bertemu arwah di Sebatu sebelum mereka berdua keluar menaiki motosikal berasingan.
“Adik dia bawa Yamaha Y15, manakala arwah naik Yamaha NVX milik abang mereka seorang lagi. Mereka memang rapat, lima beradik dan selalu bersama,” ujarnya.
Jelasnya, arwah meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil masing-masing berusia enam bulan, dua tahun dan lima tahun.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perjalanan dua beradik untuk pulang ke rumah di Muar bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar pokok tumbang di Lebuh AMJ), Kandang, awal pagi tadi.