KUALA LUMPUR – Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan kemudahan Tempat Letak Kereta (TLK) bertingkat di beberapa lokasi utama di Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, peruntukan itu dimohon di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)
“Ia melibatkan 194 lot TLK di Presint 1, 1,000 lot TLK di Presint 11, 200 lot TLK di Presint 16 dan 1,000 lot TLK di Presint 17.
“Permohonan ini dalam proses penilaian dan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan peruntukan kerajaan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Zaliha berkata, sementara menunggu kelulusan tersebut, PPj mengambil langkah proaktif dengan menyediakan sebanyak 1,630 lot TLK sementara di beberapa lokasi terpilih di Putrajaya.
Menurut beliau, TLK sementara itu bagi mengurangkan kesesakan parkir dan memenuhi keperluan mendesak pengguna di kawasan berkenaan.
Sementara itu, katanya, bagi pembangunan 10,000 unit kediaman yang diumumkan baru-baru ini adalah projek Kota Madani, bukan Residensi Wilayah.
Jelas beliau, penyediaan petak parkir dirancang melebihi satu petak bagi setiap unit rumah iaitu lebih tinggi daripada piawaian biasa.
“Jumlah sebenar TLK akan dimuktamadkan selepas proses Value Management (VM) dan ditentukan secara lebih terperinci dalam pelan pembangunan mengikut fasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE