KUALA LUMPUR – Guru yang didapati menghisap vape dan merokok dalam kawasan sekolah akan berdepan dengan tindakan undang-undang iaitu didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan undang-undang itu adalah berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“KPM tidak akan berkompromi dengan guru menggunakan vape, khususnya secara terbuka atau di hadapan murid kerana telah melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah,” katanya menerusi kenyataan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung segelintir guru menggunakan vape secara terbuka yang memberi contoh negatif kepada murid dan
menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.
Terdahulu, Fadhlina berkata, KPM dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan dalam subperaturan bagi larangan merokok termasuk apa-apa rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.
Menurut beliau, pindaan baharu tersebut selaras dengan Penguatkuasaan Akta 852 atau Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1 Oktober 2024.
Jelas beliau, larangan itu termasuk penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun dan menguatkuasakan tindakan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar luar sekolah.
“KPM turut mengharapkan kerjasama masyarakat serta pihak berkuasa tempatan bagi memantau pembelian dan penjualan vape terhadap murid sekolah.
“Ibu bapa dan penjaga pula perlu sentiasa mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam ketagihan menghisap vape,” katanya. – KOSMO! ONLINE