fbpx
Zambry pada sidang dewan rakyat hari ini. FOTO JABATAN PENERANGAN

Dewan Rakyat: 31 kes buli di universiti awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 kes buli dilaporkan berlaku di lapan universiti awam (UA) dalam tempoh 11 tahun sejak 2014 hingga tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kes yang dilaporkan berbentuk buli fizikal atau buli siber dengan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.

Menurut beliau, kes boleh berpunca disebabkan faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurang pengawasan ibu bapa.

“KPT tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah seliaan kementerian ini.

“KPT tidak akan melindungi pelaku dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT.

“KPT ingin menyatakan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung langkah KPT bagi mengekang kejadian buli di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS)

Zambry berkata, dalam konteks UA, pelajar terlibat dalam kes buli boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang diseragamkan melalui pindaan pada tahun 2024.

Kata beliau, kaedah-kaedah itu memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan dan hukuman boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman.

Jelas beliau, hukuman diperuntukkan adalah amaran, khidmat masyarakat mengikut peraturan yang dibuat oleh lembaga yang tidak melebihi 24 jam serta denda tidak melebihi RM500.

Tambah beliau, hukuman lain adalah dilarang daripada berada dalam mana-mana bahagian kampus bagi suatu tempoh, dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam desasiswa.

Kata beliau, hukuman lain adalah digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang daripada universiti.

“Bagi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 (Akta 555) memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPTS dalam menjalankan penyeliaan am.

“Termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin di institusi berkenaan meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI