KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 kes tatatertib bagi kesalahan membuat pernyataan awam di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U. (A) 395/1993) direkodkan tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, rekod itu berdasarkan data daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2024.
“Seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana diperuntukkan dalam subperaturan 20(3), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
“Pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U. (A) 395/1993),” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung jumlah bilangan penjawat awam dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan.
Zaliha berkata, pernyataan awam yang dibuat tanpa kawalan khususnya yang melibatkan aspek ketepatan data dibimbangi akan menimbulkan kegelisahan awam yang tidak wajar.
Kata beliau, kerajaan berpandangan peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan pegawai awam sentiasa menjaga tatakelakuan seperti yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE