MINAT terhadap pengembaraan aktiviti permotoran membuatkan penyanyi dan pelakon Afieq Shazwan gemar menggunakan kamera aksi untuk merakam momen sepanjang perjalanan.
Kamera aksi seperti Insta360 Go digunakan untuk saat menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha YZF-R1 memudahkan baginya untuk menonton semula rakaman POV (point of view) seolah-olah melihat dengan mata sendiri.
“Saya selalu menggunakan kamera ini untuk merakam perjalanan sama ada menunggang motosikal atau memandu kenderaan, terutama apabila perlu melalui perjalanan yang panjang.
“Memandangkan kamera ini mampu merakam secara ultra lebar dengan saiz yang ringan dan kecil membolehkan saya membawanya ke mana saja.
“Ia juga mudah untuk diletakkan di mana-mana saja lebih-lebih lagi dengan aksesori tambahan yang membolehkan kamera ini digantung pada tiang dan melakukan rakaman sendiri,” kata artis berusia 27 tahun itu kepada K-Tekno.
Pemilik nama lengkap Mohammad Shafieq Shazwan Zamros juga berkongsi keterujaan menggunakan Ray-Ban Meta yang merupakan cermin mata pintar dilengkapi kamera, mikrofon dan pembesar suara.
Menjadi antara trend masa kini apabila cermin mata pintar itu bukan sekadar aksesori fesyen biasa tetapi memudahkan Afieq Shazwan untuk kekal berhubung dengan telefon tidak mengira sama ada berkomunikasi atau menonton video.

– GAMBAR HIASAN
Pelantun lagu Lelaki Di Telefon itu turut mengakui gemar melihat semula hasil rakaman usai membuat persembahan terutama ketika melihat respon peminat selepas dihulurkan mikrofon untuk menyanyi bersama.
“Boleh dikatakan ini merupakan gajet kegemaran saya sekarang kerana ia mudah dibawa ke mana sahaja dan sesuai untuk dipakai sama ada sedang memandu atau membuat persembahan.
“Memandangkan cermin mata ini boleh merakam video secara spontan, saya suka menggunakan ketika berinteraksi dengan peminat atau membuat persembahan pentas kerana ingin melihat reaksi mereka.
“Saya juga boleh mendengar lagu tanpa memerlukan fon telinga (berwayar atau tanpa wayar) dan menjawab panggilan termasuk membalas kiriman nota suara dengan mudah,” ujarnya.
Afieq Shazwan juga memanfaatkan masa lapangnya dengan permainan video sama ada konsol PlayStation 5 (PS5) atau ROG Ally sekali gus menghindari daripada rasa bosan.
Baginya ROG Ally menawarkan pengalaman konsol mudah alih berkuasa tinggi yang mempunyai tahap kepuasan bermain permainan video setara PS5 tetapi dalam bentuk kompak.
“Kalau saya perlu bekerja di luar kawasan, ROG Ally ini boleh dikatakan sebagai peneman untuk mengisi masa lapang agar tidak bosan.

“Boleh dikatakan antara gajet kegemaran saya juga kerana ringan, mudah disimpan dan senang dibawa. Jika bateri habis hanya perlu cas semula.
“Saya memang suka bermain permainan video sama ada di PS5, ROG Ally, komputer mahupun telefon dan antara yang saya suka ialah GTA (Grand Theft Auto) dan Mobile Legends,” katanya.
Selain bercerita tentang gajet yang digunakan, Afieq Shazwan turut berkongsi pendapat tentang pengaruh teknologi dalam kehidupan seharian.
Katanya, kemajuan teknologi masa kini banyak memberi manfaat dari segi komunikasi dan pendidikan, namun perlu diberi perhatian untuk menggunakannya secara beretika khususnya melibatkan kandungan hiburan.
“Teknologi sekarang semakin canggih dan memang banyak pilihan sehinggakan saya sendiri pun rasa tidak terkejar kerana perkembangan teknologi itu terlalu cepat.
“Walaupun dilihat banyak memberi manfaat tetapi kita tetap perlu menjadi pengguna bijak agar teknologi yang ada itu tidak menyakiti orang lain atau mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.














