PUTRAJAYA – Cabaran berkenaan kenaikkan harga barang binaan yang sedang dilalui oleh golongan kontraktor G1 hingga G4 perlu dipandang serius bagi mengelak mereka gulung tikar.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut telah dibangkit dalam sesi dialog pemain industri bersama kementerian terutama bagi golongan kontraktor kecil yang sedang mengalami kesusahan dalam menghadapi harga barang binaan yang semakin mahal.
”Kita bukan hanya ambil maklum malah sedang berbincang bagaimana untuk menyelasaikan isu harga barang.
”Perbincangan hari ini antara lain untuk menyemak dan membantu golongan ini (G1-G4) apa yang boleh diberi kerajaan dalan belanjawan tahun hadapan.
”Kami hanya akan utarakan masalah ini, seperti yang kita tahu hanya Kementerian Kewangan akan memberi keputusan itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas Sesi Dialog Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 150 pemain industri termasuk bidang pembinaan bangunan dan jalan raya telah mengadakan sesi dialog bersama KKR di Ibu Pejabat kementerian di Putrajaya.
Sesi dialog tertsebut antara lain adalah bagi meneliti belanjawan yang bakal diberikan kepada kementerian tersebut Oktober nanti. – KOSMO! ONLINE.