fbpx
BATERI yang digunakan mempunyai kuasa yang begitu besar.

Bateri paling berkuasa di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAH bateri boleh menjana elektrik untuk pelbagai peranti dan menjadi keperluan dalam kehidupan seharian manusia.

Daripada peralatan kecil kepada sistem perindustrian, bateri wujud dalam pelbagai jenis, bentuk, saiz, keupayaan dan teknologi.

Dalam perkembangan dunia bateri, Australia baru-baru ini melakar satu pencapaian baharu menerusi teknologi tenaga boleh diperbaharui dengan pengoperasian rasmi Bateri Super Waratah atau Waratah Super Battery.

Bateri selama ini sering dianggap untuk kegunaan barangan-barangan elektrik kecil atau sistem industri, tetapi bateri yang diusahakan Australia ini mampu menjana elektrik kepada sejuta rumah penduduk.

Ia dikatakan bateri terbesar dan paling berkuasa dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EnergyCo yang bertanggungjawab menyelia projek ini, Dr. Hannah McCaughey, Bateri Super Waratah merupakan sistem penyimpanan tenaga berskala besar yang dikendalikan oleh Akaysha Energy, subsidiari pelaburan global BlackRock.

“Bateri ini direka khusus untuk menstabilkan grid elektrik Australia yang semakin mencabar susulan rancangan penutupan semua loji jana kuasa arang batu menjelang tahun 2035.

“Apabila siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, ia dijangka menjadi bateri terbesar di dunia dari segi output kuasa, dengan kapasiti yang mengagumkan iaitu 850 megawatt (MW) dan 1,680 megawatt-jam (MWh),” katanya kepada Interesting Engineering baru-baru ini.

Tambahnya, ketika ini, Waratah telah mula menjana 350 MW di lokasi strategiknya di pesisir tengah New South Wales, Australia. Ia akan memainkan peranan penting terutama ketika gangguan bekalan secara tiba-tiba.

“Ini projek pertama kami, lebih banyak lagi akan menyusul,” katanya optimis.

Bateri Super Waratah atau Waratah Super Battery merupakan sebahagian daripada System Integrity Protection Scheme (SIPS), satu sistem kritikal dalam mencegah masalah bekalan elektrik terputus dan ketidakstabilan grid.

Ia berfungsi seperti penyerap ‘kejutan’ tenaga gergasi (giant shock absorber) yang menyeimbangkan keadaan sekiranya berlaku gangguan tiba-tiba bekalan elektrik.

Ia dilihat amat berharga apabila lebih banyak tenaga boleh diperbaharui, khususnya solar atas bumbung, disalurkan ke grid.

Bateri Super Waratah melibatkan keluasan kira-kira 14 hektar di New South Wales, Australia.

Terletak strategik untuk menyalur kuasa kepada pusat penggunaan utama seperti Sydney, Newcastle dan Wollongong, bateri ini membolehkan lebih banyak tenaga yang dihantar melalui talian penghantaran sedia ada tanpa berlaku overload.

“Ini mengurangkan keperluan untuk mengehadkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan memastikan bekalan elektrik bersih yang lebih konsisten.

“Dibina di tapak bekas loji janakuasa arang batu di utara Sydney, fasiliti ini meliputi keluasan kira-kira 140,000 meter persegi atau 14 hektar.

“Bateri ini akan mampu membekalkan tenaga kepada hampir satu juta buah rumah selama satu jam,” jelasnya.

Mengenai pembinaan Bateri Super Waratah, Akaysha Energy sebenarnya menghadapi beberapa cabaran sepanjang pembangunan, termasuk kelewatan pembinaan akibat cuaca dan ketidakstabilan kewangan pembekal bateri, Powin, yang telah memfailkan perlindungan kebankrapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Akaysha, Nick Carter berkata, syarikat mereka optimis untuk memperoleh lebih banyak kontrak berkaitan SIPS pada masa hadapan.

“Bateri kini lebih penting berbanding sebelum ini untuk menstabilkan grid dan apabila beroperasi sepenuhnya, Bateri Super Waratah akan mengatasi penjana arang batu Kogan Creek 750 megawatt di Queensland, menjadikannya unit terbesar seumpamanya yang disambungkan kepada grid Australia.

“Walaupun projek bateri besar lain masih dalam pembinaan seperti bateri Eraring berkapasiti 700 MW dan 2,800 MWh, Waratah yang pertama mencapai tahap operasi lanjutan seperti ini,” kongsinya.

Australia pada awalnya ketinggalan berbanding negara seperti Amerika Syarikat, China dan Jerman dalam pembangunan bateri berskala utiliti, namun kini telah melonjak ke hadapan.

Negara itu kini berada dalam kelompok lima pasaran utama global bagi penyimpanan bateri berskala besar.

Kemajuan ini sebahagiannya didorong oleh penggunaan tenaga solar yang pesat, sekali gus membawa cabaran tersendiri.

Bateri seperti Waratah membantu menguruskan turun naik pengeluaran tenaga solar dan mengekalkan bekalan yang stabil semasa waktu pengeluaran rendah atau permintaan tinggi.

Menurut data yang dikumpulkan oleh BloombergNEF, projek bateri yang lebih besar sedang dirancang atau dibina, namun Waratah akan mendahului dari segi output kuasa apabila siap kelak.

Pelaksanaan bateri ini dapat membantu menurunkan harga tenaga dengan menyokong lebih banyak projek tenaga hijau untuk disiapkan.

Ia akan membantu lebih banyak sumber tenaga lain seperti angin, solar dan kapasiti penyimpanan disambungkan ke grid yang secara keseluruhan akan menstabilkan dan berkemungkinan menurunkan harga elektrik dari semasa ke semasa.

Kemajuan Australia dalam solar atas bumbung menjadikan bateri berskala besar sebagai satu keperluan. Dengan kadar penggunaan solar atas bumbung tertinggi per kapita di dunia, negara ini menjana 11.2 peratus daripada jumlah tenaga elektriknya melalui sistem tersebut pada tahun 2023.

“Bateri Super Waratah menjadi tonggak penting dalam peralihan ini. Ia bukan sahaja menyerlahkan keupayaan teknikal Australia, malah mengukuhkan komitmennya terhadap masa depan tenaga yang lebih bersih dan tahan lasak.

Bateri Super Waratah bukan sekadar pencapaian kejuruteraan, tetapi juga simbol komitmen Australia dalam peralihan kepada tenaga bersih.

Dengan insentif kerajaan, pelaburan swasta dan sokongan komuniti, infrastruktur sebegini bakal memainkan peranan utama dalam menghapuskan kebergantungan kepada bahan api fosil dan membentuk sistem tenaga masa depan yang lebih cekap dan lestari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN