fbpx
BARCELONA berjaya menjuarai Trofi Joan Gamper menewaskan Como awal pagi semalam. - AFP

Barcelona, Ter Stegen tutup cerita lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARCELONA – Perbalahan antara penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen dengan pengurusan pasukan itu dianggap selesai selepas kedua-dua pihak akhirnya menyatakan persetujuan untuk berdamai.

Perkembangan positif itu disusuli dengan aksi cukup memberangsangkan daripada skuad The Catalans ketika membelasah wakil Serie A, Como 5-0 di Stadium Johan Cruyff bagi memenangi Trofi Joan Gamper awal pagi semalam.

Ter Stegen yang dikembalikan semula peranan sebagai kapten berkata, dia sedia untuk melupakan sepenuhnya episod kurang baik sebelum ini selain mahu membantu pasukan meraih lebih banyak kejuaraan.

“Kami perlu bekerja keras pada setiap musim dan cuba untuk bersaing dan memenangi setiap kejuaraan. Sudah tentu kami sangat mengharapkan sokongan padu semua penyokong bagi mencapai impian tersebut.

“Pasukan sudah melakukan tugas yang sangat baik sepanjang saingan musim lalu dan tahniah kepada jurulatih, Hansi Flick. Agak malang untuk saya kerana dibelenggu masalah kecederaan,” katanya.

Sebelum ini, timbul konflik antara Ter Stegen dan pengurusan Barcelona apabila dia enggan menandatangani surat yang mengesahkan dia mengalami kecederaan panjang dalam usaha mereka mendaftar penjaga gol baharu, Joan Garcia.

Perkara itu sedikit sebanyak menggugat keharmonian dalam bilik persalinan pasukan sehingga menyebabkan Barcelona mengambil keputusan untuk melucutkan tugasnya sebagai kapten buat sementara waktu.

Sementara itu, Fermin Lopez dan Lamine Yamal mempamerkan aksi cukup baik ketika bertemu Como apabila masing-masing meledak dua gol, manakala satu lagi gol dijaringkan Raphinha. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI