fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapakan dengan 52 pertuduhan di mahkamah sesyen hari ini. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON/ KOSMO!

Bapa didakwa 52 pertuduhan ‘ratah’, rakam pornografi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang bapa enam anak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 52 pertuduhan berkali-kali melakukan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan merakamkam aksi pornografi terhadap darah dagingnya sendiri, sejak Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut 17 pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun, yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Bagi 34 pertuduhan lain, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung kepada mangsa sama didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal dan didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat bagi Seksyen 14(b) dan 14(a) AKSTK 2017, manakala penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang daripada dua sebatan bagi Seksyen 16(1) AKSTK 2017.

Dalam pada itu, tertuduh yang bekerja sebagai tukang baiki mesin basuh dan peti ais juga berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 AKSTK 2017 atas kesalahan membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar yang memaparkan mangsa sama dalam keadaan tidak berpakaian di dalam bilik air.

Bagi perbuatan itu tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada lima sebatan.

Kesemua 52 pertuduhan itu dilakukan tertuduh antara pukul 6.50 pagi sehingga 7.15 pagi pada 12 Mei sehingga 2 Ogos di sebuah rumah beralamat di Tambak Paya, dalam daerah Melaka Tengah.

Terdahulu, pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain, melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu nilai jaminan dikurangkan dengan alasan dia hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM8,000, selain mendakwa kesemua pertuduhan tersebut adalah tuduhan palsu dibuat terhadapnya.

“Puan ini semua tuduhan palsu, mohon jaminan dikurangkan supaya saya mampu bayar dan cari peguam untuk bersuara bagi pihak saya.

“Saya akan jual rumah dan kereta supaya dapat bela diri, saya rasa ingin bunuh diri sebab hidup pun sudah tak guna kalau (tanggap) bapa begini yang tiada maruahnya lagi,” rayunya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai keseluruhan RM90,000 dan bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 18 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI