ANNAPOLIS, MARYLAND – Sekurang-kurangnya enam orang termasuk empat kanak-kanak maut dalam satu kebakaran besar di sebuah rumah di negeri Maryland, Amerika Syarikat, lapor akhbar New York Post.
Kebakaran berlaku sekitar pukul 8.40 pagi (waktu tempatan) di kejiranan Waldorf, daerah Charles pada Ahad lalu.
“Anggota bomba cuba memasuki rumah tetapi gagal susulan asap tebal dan api yang semakin marak,” kata Pejabat Bomba Negeri dalam satu kenyataan.
Dua mangsa terselamat selepas mereka melarikan diri dari rumah itu semasa kebakaran, demikian menurut pihak berkuasa.
Seorang anggota bomba dibawa ke hospital tempatan, manakala seorang lagi dirawat di tempat kejadian.
“Kebakaran itu dipercayai bermula pada bahagian kanan sebelum merebak ke seluruh rumah.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambah bomba. – AGENSI