fbpx
Benyamin tengah pada pelancaran laluan baharu AirAsia X ke Istanbul di Sepang hari ini.

AirAsia X terbang ke Turkiye, teroka pasaran baharu di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – AirAsia X (AAX) terus melebarkan sayap penerbangan syarikat itu apabila melancarkan perkhidmatan terus antara Kuala Lumpur dan Istanbul bermula pada 14 November depan.

Pelancaran strategik itu menandakan kemasukan AAX ke Eropah yang lama dinantikan, seterusnya membuka pintu masuk penting bagi menghubungkan Asia Tenggara ke Eropah melalui Istanbul.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, Istanbul merupakan destinasi impian penumpang yang mana pelancaran itu menandakan satu detik membanggakan kepada syarikat ini.

“Selepas kejayaan pengembangan terbaru ke Asia Tengah, laluan yang lama dinantikan ini membawa kami selangkah lebih dekat untuk menawarkan sambungan perjalanan yang lebih jauh merentasi benua.

“Sebagai satu-satunya bandar di dunia yang terletak di dua benua, Istanbul merealisasikan visi kami untuk menghubungkan Asia dan destinasi lain melalui perjalanan berpatutan jarak sederhana.

“Ini adalah keputusan strategik yang memperkukuh rangkaian kami, menawarkan lebih banyak laluan untuk kerjasama perniagaan serta memperluas akses kepada pengalaman baharu bagi para pengembara di seluruh dunia,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Katanya, laluan baharu itu juga membuka peluang kepada pakej Umrah Plus Istanbul ditawarkan oleh ikhlas.com yang merupakan anak syarikat gaya hidup Islamik di bawah Capital A.

“Ia seterusnya memberikan peluang kepada tetamu Muslim untuk menggabungkan perjalanan mereka dengan lawatan ke salah satu bandar paling ikonik di dunia.

“Dari Istanbul, tetamu kami boleh menikmati perjalanan dengan mudah ke pelbagai destinasi di seluruh Asia termasuk Indonesia, Australia, Singapura, China, Thailand dan banyak lagi melalui perkhidmatan Fly-Thru tanpa perlu mendaftar masuk bagasi semula,” katanya.

AirAsia X akan menawarkan penerbangan empat kali seminggu menerusi pesawat Airbus 330-300 dan beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SAW) di Istanbul.

Bagi meraikan pelancaran laluan ini, AAX menawarkan tambang promosi  terhad bermula daripada RM499 sehala dan daripada RM3,999 sehala bagi tempat duduk Premium Flatbed.

Tempahan penerbangan kini boleh dibuat mulai hari ini sehingga 20 Ogos 2025 untuk tempoh perjalanan antara 14 November 2025 dan 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI