fbpx
Gambar hiasan

Ada jawatankuasa pantau penjawat awam guna media sosial – KSN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendedahkan terdapat sebuah jawatankuasa khusus untuk memantau penggunaan media sosial di kalangan penjawat awam.

Menurutnya, ini kerana ada penjawat awam yang dikesan menggunakan platform itu dengan cara yang tidak sepatutnya.

“Dan memang pun ada jawatankuasa yang memantau media sosial melibatkan penjawat awam. Ramai penjawat awam ini kadang-kadang terlalu mengikut emosi, tak dapat kawal emosi dan menulis sesuatu yang tidak sepatutnya.

“Jadi, saya merayu kepada semua yang ada di sini tulis lah yang baik-baik sebab apabila kita tulis yang baik-baik ia akan memberi ketenangan pada jiwa, amal daripada kebaikan kita itu akan berterusan dan kita tidak akan rugi apa-apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Sesi Reformasi Satu Kemestian bersama Ketua Setiausaha Negara sempena Setahun Reformasi Perkhidmatan Awam dan Pelancaran Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam di Puspanitapuri hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Azri turut berkongsi antara cabaran paling besar sejak menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausa Negara adalah berkaitan menangani isu media sosial membabitkan penjawat awam.

Beliau memberi contoh himpunan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang di Dataran Merdeka baru-baru ini apabila dirinya menerima kritikan di media sosial setelah mengeluarkan kenyataan agar penjawat awam tidak menyertai aktiviti tersebut.

“Saya jawab ketika itu, kita baca ikrar (Rukun Negara) kan? Kita baca ketaatan pada raja dan negara dan sebagai penjawat awam kita memang ada aku janji ketaatan itu, jadi kita pada setiap masa kena taat kepada raja dan negara.

“Kenapa kita nak turun perhimpunan? Ia nya juga tidak selaras dengan Peraturan-Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993. Tapi sememangnya dalam tempoh setahun saya menjadi KSN, ini cabaran paling besar dalam menangani media sosial.

“Pada ketika saya mengeluarkan kenyataan penjawat awam tak boleh turun berhimpun, ada 45,000 (pengguna media sosial) yang balun saya dan tidak setuju dengan KSN. Tapi sebagai penjawat awam, kita lah benteng terakhir kerajaan, kalau bukan kita siapa lagi? Ingat lah tanggungjawab kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau sekali lagi mengingatkan penjawat awam agar tidak membuat sebarang pernyataan awam bersifat jelik menerusi platform media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI