PASIR MAS – Pemandu kereta jenis Honda Civic EK yang terlibat dalam nahas mengorbankan empat sekeluarga termasuk suami dan dua anaknya di Gua Musang semalam dilaporkan kritikal meskipun sudah sedarkan diri.
Tuan Ruzila Tuan Teh, 48, berkata, anaknya, Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, sudah boleh bercakap selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan tulang rusuk tercucuk paru-paru, rahang dan pipi patah.
Katanya, Tuan Norsyuhada dipindahkan dari Hospital Gua Musang ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
“Dia sudah sedar, tetapi masih lagi kritikal. Sebaik sedar, dia bertanya keadaan anak dan suaminya.
“Pada awalnya saya menyembunyikan situasi sebenar, namun akhirnya terpaksa memaklumkan suami dan dua anaknya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kubang Bemban, di sini tengah malam tadi.
Menurutnya, Tuan Norsyuhada sempat menyentuh arwah suaminya yang juga polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan dua anaknya buat kali terakhir ketika dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Gua Musang semalam.
Kosmo! Online semalam melaporkan empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki bertembung sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 semalam.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, penumpang kereta, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, serta adik Muhammad Faiz, Nor Aina Imra maut di lokasi kejadian.
Tuan Norsyuhada yang memandu kereta cedera parah pada kepala dan dada akibat tersepit. Mereka sekeluarga menyertai Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor pada Sabtu lalu dan dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas. – KOSMO! ONLINE