KUANTAN – Polis Pahang bertindak pantas merampas 200 keping cip kasino bernilai RM2 juta yang merupakan sebahagian daripada 300 cip kasino yang dilarikan dari Genting Highlands, 2 Ogos lalu.
Rampasan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong Jumaat lalu, susulan penyerahan cip oleh seorang lelaki.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 30 an itu merupakan seorang pekerja syarikat yang memperoleh cip berkenaan daripada suspek.
“Syarikat berkenaan telah memberi pinjaman RM2 juta kepada suspek melalui pekerjanya dengan ‘cash chip’berkenaan dijadikan cagaran dan urusan berkenaan dilakukan di lobi Genting Grand tanpa perjanjian bertulis.
“Pihak polis masih giat mengesan suspek utama kes terbabit dikenali sebagai Victor Lee, 44, yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.
“Suspek dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah melarikan 300 keping cip kasino bernilai RM3 juta dari meja Private Gaming Crockfords Club (Starlight 2) pada 2 Ogos lalu.
“Suspek dilihat tergesa-gesa meninggalkan kasino dan terus melarikan diri ke luar negara pada hari yang sama menggunakan laluan autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini, baki 100 keping cip kasino bernilai RM1 juta dipercayai masih berada dalam simpanan suspek.
“Polis telah mengeluarkan Senarai Pekeliling Khas (SPK A) untuk menangkap Victor Lee sekiranya dia kembali ke Malaysia.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Insp. Mohd Izwan di talian 019-9295720 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLIE