fbpx
Vikram Menon dibawa anggota polis bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

1 jam baca 68 pertuduhan pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen hari ini mengambil masa lebih sejam membaca 68 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM700,000 terhadap seorang pengurus projek sambilan.

Tertuduh, R. Vikram Menon, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Vikram didakwa memindah dan melupuskan hasil daripada aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan RM688,916.85 antara tahun 17 Oktober 2023 hingga 15 Oktober tahun lalu di sekitar Bandar Sri Damansara.

Aktiviti pengubahan wang haram itu dilakukan menerusi 301 transaksi ke 67 akaun bank bagi tujuan pemindahan dan 159 transaksi melibatkan pelupusan termasuk ke sebuah hospital swasta.

Ia melibatkan satu-satu transaksi dalam talian dan wang tunai antara RM1,000 hingga RM90,463.33.

Justeru, dia dakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din mencadangkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Syarat tambahan lain adalah melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam S. Kulasegaran memohon jaminan keseluruhan sebanyak RM30,000 dengan alasan ikat jamin bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan menghukum.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin beralamat tetap di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Tertuduh juga perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan,” katanya.

Sebutan semula kes pada 13 Oktober depan – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI