WASHINGTON – Duta Amerika Syarikat(AS) ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO), Matthew Whitaker mengumumkan semalam bahawa Presiden Volodymyr Zelensky mungkin hadir pada sidang kemuncak AS-Russia minggu ini di Alaska selepas pemimpin-pemimpin Eropah mendesak kehadiran Kyiv.
Whitaker berkata demikian ketika menjawab soalan saluran berita CNN sama ada Zelensky mungkin menyertai Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin Jumaat ini.
“Ya, saya pasti fikir ini mungkin. Tentu sekali, tidak boleh ada persetujuan jika semua yang terlibat tidak bersetuju. Maksud saya jelas sekali, adalah keutamaan untuk menamatkan perang ini,” katanya.
Sidang kemuncak yang dirancang tanpa kehadiran Zelensky itu menimbulkan kebimbangan bahawa persetujuan damai akan memerlukan Kyiv menyerahkan sebahagian besar wilayah Ukraine sedangkan perkara itu ditolak Kesatuan Eropah.
Dalam gelombang diplomasi untuk meraih sokongan, Zelensky mengadakan panggilan telefon dengan 13 rakan sejawatan beliau selama tiga hari termasuk penyokong utama Kyiv, Jerman, Britain dan Perancis.
Canselor Jerman Friedrich Merz berkata, beliau berharap dan beranggapan bahawa Zelensky akan menghadiri sidang kemuncak itu.
Whitaker bagaimanapun berkata keputusan akhir terletak di tangan Trump.
“Jika beliau fikir adalah senario terbaik untuk menjemput Zelensky, maka beliau akan melakukannya,” kata Whitaker.
Berpuluh-puluh ribu orang terbunuh sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022, dengan berjuta-juta orang menjadi pelarian. – AFP